Kerajaan akan tetap melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan, meskipun dibantah sesetengah pihak.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, menjelaskan sudah hampir 30 tahun kerajaan membuat persiapan bagi tujuan itu.
Sambil menyifatkan perhimpunan membantah GST sebagai tidak wajar, Ahmad berkata penganjur perhimpunan seharusnya menggunakan pendekatan lebih baik untuk menyuarakan pendapat mereka.
“Mereka sepatutnya mengemukakan memorandum berhubung perkara itu, ini (bantahan) hanya bertujuan untuk mempolitikkan segala perkara baik yang kerajaan mahu laksanakan”, katanya.
GST yang dikenakan pada kadar enam peratus untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, dikecualikan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak.
Barangan dan perkhidmatan lain yang turut dikecualikan ialah perkhidmatan kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen dan perkhidmatan kesihatan.
Ahmad Maslan berkata, GST bukan perkara baru, malah 90 peratus penduduk dunia telah mengamalkannya.
Jelasnya, kadar GST yang bakal dikenakan juga adalah antara yang terendah di dunia.
“Prinsip yang perlu semua fahami adalah cukai itu diproses daripada rakyat dan dikembalikan semula kepada rakyat untuk tujuan pembangunan sosial dan ekonomi mereka.
“Kerajaan tak simpan duit itu kerana kita akan kembalikan kepada rakyat melalui bajet tahunan”, katanya lapor The Rakyat Post