Jika sebelum ini pelanggan di kedai mamak hanya perlu membayar RM2.70 untuk menikmati segelas teh tarik dan roti canai kosong, jangan terkejut jika harganya berubah menjadi RM3.11 menjelang Mac depan.
Harga baru yang dinaikkan sekitar 18 ke 23 sen itu adalah anggaran kasar sekiranya kira-kira 6,000 pemilik restoran di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menaikkan harga makanan sehingga 15 peratus.
Ia berdasarkan cadangan persatuan itu yang mahu menggunakan harga makanan dan minuman baru dengan tambahan antara lima hingga 15 peratus sebagai menampung peningkatan kos operasi.
Sekiranya ia dikuatkuasakan, hidangan yang menjadi pilihan kebanyakan orang seperti nasi campur, mi goreng mamak dan maggi goreng ayam akan turut berdepan kenaikan antara 75 sen ke RM1.50.
Presiden PRESMA Noorul Hassan Saul Hameed ketika diajukan perkara itu berkata, pihaknya sekadar mengemukakan cadangan terbabit berdasarkan situasi semasa, namun hingga kini masih belum membuat sebarang keputusan ~ myMetro