Mula-mula korang baca dulu surat terbuka buat Menteri Belia dan Sukan dari sebuah band yang membantah keras kerana kerajaan membenarkan Kumpulan Metallica membuat persembahan di negara ini..
Menurut penyanyi utama band yang berasal dari Johor ini kehadiran Metallica dibantah kerana kumpulan tersebut didakwa akan membawa kesan negatif kepada belia dan rakyat negara ini.
Disamping itu dakwa penyanyi utama kumpulan itu selepas ini kerajaan terpaksa mengeluarkan banyak lagi dana untuk membasmi jenayah yang akan semakin kronik.
Buat YB, Menteri Belia dan Sukan
Salam buat YB, Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan salam untuk kita sama-sama kekalkan semangat Syawal. Kita sesama muslim dan kami pasti YB tahu batas-batas sebagai seorang muslim, itu harapan kami.
Kami ulangi, YB telahpun dinaikkan oleh Allah swt ke jawatan Menteri Belia yang mana di dalam kerajaan yang baru mendapat mandat ini YB adalah orang yang memegang amanah dan bertanggungjawab membentuk belia-belia dalam negara ini menjadi generasi berguna, acuan sekarang di tangan YB dan YB mampu mencorak warna putih ataupun warna hitam, “up to you”.
Pada 21 Ogos 2013 dikatakan Kumpulan Rock Keras iaitu Metallica akan mengadakan persembahan mereka di Stadium Merdeka yang mana tiket akan dibuka jualannya pada Sabtu, 13 Julai 2013 iaitu hari keempat Ramadhan.
Saya melihat YB merasa teruja dan gembira apabila Kumpulan Metallica bersedia datang ke negara ini, kata-kata YB “…mungkin tiba masanya kita tidak lagi kalah dengan negara jiran kita Singapura..” kenyataan itu sangat bahaya buat kami sebab cara hidup ahli kumpulan tersebut jauh tersasar daripada manusia normal dan bayangkanlah bagaimana anak muda kita menjadi cara hidup mereka sebagai ikon?.
Ya, selama ini Metallica sering mengunjungi Singapura dalam persembahan mereka apakah apabila mereka ingin ke negara kita untuk buat persembahan itu sesuatu petanda yang baik?. Saya kira sikap YB sebagai Menteri Belia dalam hal ini cukup memaksa kami menyatakan pendirian, apakah YB bersedia mencari kemenangan di dalam merosakkan generasi pelapis negara?
Hari-hari di dada-dada akhbar, di media elektronik cukup banyak isu gejala sosial dilaporkan, daripada sekecil-kecil jenayah sehinggalah sebesar-besar jenayah, hari ini isu bunuh bersenjata api pula, isu-isu tersebut berlaku di Malaysia bukan Singapura tetapi pemimpin seperti YB masih menutup mata seolah-olah apa yang berlaku itu tiada kaitan dengan kerja buat menteri-menteri seperti YB yang dibayar gaji oleh rakyat.
YB,
Mewakili rakan-rakan saya dari ABC Band kami ulangi sekali lagi pendirian kami membantah sekeras-kerasnya keizinan kerajaan membenarkan Kumpulan Metallica membuat persembahan di negara Malaysia kerana kesan negatif buat belia dan rakyat negara ini akan lebih parah serta selepas ini kerajaan terpaksa mengeluarkan banyak lagi dana untuk membasmi jenayah yang akan semakin kronik.
Bantahan kami, ABC Band bukan Kumpulan Metallica sahaja malah semua artis yang mana pendekatan mereka jauh daripada adab dan akhlak. Mencegah lebih baik daripada Mengubati
Semoga Allah beri hidayah kepada YB.
Terima kasih YB
Ahmad Nazri Khamis
Penyanyi (1) ABC Band
Batu Pahat, Johor
OK.. itu surat dari Band ABC..
Terus terang aku bagitahu,, aku adalah salah seorang dari jutaan peminat Metallica..
Dan aku punya koleksi CD mereka bermula dari Kill 'Em All, Ride the Lightning, Master of Puppets, And Justice for All, Load, Reload, St. Anger dan juga S&M..
Jika menurut apa yang dinyatakan oleh ABC Band itu iaitu Metallica akan membawa kesan negatif dan meningkatkan kadar jenayah negara.. mungkin tak akan ada Blog Anak Sungai Derhaka ini.
Sebabnya aku dah terpengaruh dengan lagu-lagu Metallica yang aku dengar dan dah jadi penjenayah..
Tetapi ianya tidak berlaku sebagaimana yang mereka katakan..
Asasnya disini ialah diri kita sendiri.. bagaimana kita menggunakan akal yang dikurniakan Allah kepada kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk..
Jika kita dikatakan akan terpengaruh dengan Metallica hanya kerana kita menonton konsert mereka adakah kita juga akan terpengaruh dengan kelakuan binatang-binatang yang berada dalam Zoo setelah melawat Zoo?
Tentu tidak.. kerana akal kita yang digunakan sebaik mungkin akan mengelakkan kita dari berkelakuan seperti beruk-beruk dalam Zoo itu..
Hakikatnya kita tidak akan jadi beruk bila kita melihat beruk, kita tak akan jadi seperti Najib hanya dengan melihat Najib dan kita juga tak akan jadi seperti Anwar Ibrahim hanya dengan melihat dan mendengar apa yang beliau katakan..
Selain itu.. dalam negara yang berbilang bangsa ini tak salah rasanya jika kita menghormati apa yang orang lain minati.. lagipun kita tidak boleh memaksa semua orang untuk meminati atau menyukai apa yang kita suka..
SAKSIKAN!! The best Unforgiven live performance from Metallica... recorded six years ago..