Kerajaan Kedah mengesahkan aktiviti pembalakan di dua lokasi sekitar negeri ini masing-masing di Padang Terap dan Baling, sudah diarah dihentikan serta-merta buat sementara bagi tujuan siasatan dan penilaian semula.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata arahan itu berkuat kuasa 18 Mei lalu membabitkan dua projek pembalakan iaitu untuk tujuan agro-pelancongan di sekitar empangan Pedu di Padang Terap dan projek ladang rakyat di Gunung Inas, Baling.
Katanya, arahan itu dibuat susulan aduan orang ramai yang mendakwa menerima kesan daripada aktiviti pembalakan di kedua-dua lokasi terbabit yang dilaksanakan ketika pemerintahan kerajaan negeri di bawah PAS Kedah sebelum ini.
Henti sementara
Sebenarnya arahan sudah dikeluarkan, tetapi bukannya untuk hentikan terus penebangan. Kita buat arahan untuk hentikan sementara selepas terima rungutan daripada penduduk kampung mendakwa aktiviti pembalakan menjejaskan bekalan air.
Kita nak siasat mungkin Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) tidak disediakan sebelum balak ditebang. Nak kembalikan semula balak yang dah ditebang itu mustahil, jadi tindakan terbaik kini ialah hentikan penebangan.
Kita ada hak untuk hentikannya jika aktiviti penebangan tidak dijalankan ikut prosedur. Kita cuma mahu pastikan semua pihak ikut ketetapan disediakan dan jika ada arahan walaupun kecil yang tidak dipatuhi, maka ia akan dihentikan, katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis memeterai memorandum persetujuan (MoA) di antara Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA) dan sebuah syarikat pemaju resort pelancongan dan daya penarik berimpak tinggi, Pekan Artisan Sdn Bhd (Pekan Artisan) membabitkan pelaksanaan dua projek pembangunan eksklusif dan inovatif di sini.
Pada majlis itu, LADA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Khalid Ramli manakala Pekan Artisan diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Saifful Azhar Sabaruddin.
Mengulas lanjut arahan itu, Mukhriz berkata ketika ini siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua projek pembalakan itu bertujuan memelihara kepentingan rakyat dan alam sekitar.
Caj air ke Pulau Pinang
Mengambil contoh Gunung Inas, katanya, kerajaan negeri sudah terlambat untuk menyelamatkan kawasan itu kerana pembalakan sudah sampai ke puncak gunung berkenaan.
Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan membentangkan bajet yang lebih realistik berbanding kerajaan diterajui PAS Kedah sebelum ini dengan jangkaan pendapatan RM640 juta sepanjang 2013.
Katanya, kerajaan PAS Kedah sebelum ini menjangkakan pendapatan RM20 juta daripada RM640 juta yang dijangkakan daripada hasil bekalan air kepada Pulau Pinang.
Bagaimanapun, ketika pentadbiran PAS Kedah, tiada langsung perjanjian wujud antara Menteri Besar Kedah terdahulu iaitu Tan Sri Azizan Abdul Razak dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan perbincangan hanya membabitkan di peringkat EXCO.
Namun kita akan meneruskan cadangan serta kertas kerja untuk mengenakan caj bayaran bekalan air mentah ke Pulau Pinang kerana kita berpendapat Kedah layak menerima bayaran bagi kos pembekalan air bersih itu, katanya.
~ Berita Harian