PETALING JAYA: Kos melaksanakan program komunikasi komuniti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) tahun lepas kira-kira RM5.5 juta, Dewan Rakyat dimaklumkan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan perkara itu dalam jawaban bertulis di laman sesawang Parlimen.
“Kos pelaksanaan bagi 144 program komunikasi komuniti J-Kom di seluruh negara pada 2023 adalah sebanyak RM5,551,278.23,” katanya, menjawab Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu tentang aktiviti J-Kom pada 2023 dan kosnya.
Menjawab pertanyaan berkaitan jumlah lantikan politik di J-Kom dan proses berkaitan, Fahmi memaklumkan keseluruhan perjawatan tetap di J-Kom adalah sebanyak 155 perjawatan.
“Manakala perjawatan kontrak terbahagi kepada dua iaitu pelantikan secara kontrak sebanyak 307 jawatan dan pelantikan secara kontrak perkhidmatan sebanyak tiga jawatan,” katanya.
Fahmi menegaskan proses lantikan dibuat berdasarkan peraturan, tatacara, dan dasar pelantikan pegawai kerajaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.
Terdahulu dilaporkan bekas exco Selangor, Mohd Khairuddin Othman, dilantik sebagai ketua pengarah J-Kom berkuatkuasa Jumaat lepas, menggantikan Mohammad Agus Yusoff.
Kerusi ketua pengarah J-Kom kosong sejak November tahun lalu apabila Agus meletak jawatan kerana menerima tawaran kerja baharu - FMT