KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta orang ramai jangan menuding jari dan menuduh mana-mana pihak menyerang mahasiswa di Dataran Merdeka malam tadi.
Katanya, Umno tidak terlibat dalam kumpulan penyerang terbabit seperti yang didakwa mahasiswa itu dan pembangkang.
“Walaupun tak setuju dengan perjuangan mahasiswa tebabit, saya juga tak bersetuju dengan sebarang tindakan ganas.
“Harap polis dapat siasat secara rapi dan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau juga enggan mengulas spekulasi serangan itu sengaja diadakan hanya untuk menarik perhatian dan simpati orang ramai.
“Pihak yang buat rumusan sebegini kita tak tau lagi, saya tak nak buat apa-apa andaian cuma mintak polis siasat secara rapi,” katanya.
Penting diri
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali menyifatkan perjuangan Pro-Mahasiswa menuntut pendidikan percuma sebagai memalukan dan pentingkan diri.
“Mereka memalukan seluruh maruah kerana berjuang hanya untuk tak nak bayar hutang.
“Jika pinjaman dihapuskan mereka mendapat faedah cukai rakyat walaupun mendapat keputusan ujian rendah…apapun ini semua permainan politik (Ketua Pembangkang) Anwar Ibrahim yang membuatkan semua rakyat jadi keliru,” katanya.
Presiden Perkasa itu berkata, pendidikan percuma hanya akan membuatkan pelajar jadi malas dan enggan bersaing, sekaligus mampu menggagalkan matlamat pemansuhan tersebut.
“Kalau bagi percuma dari awal mereka tak belajar, tak lulus dan asyik tunjuk perasaan saja.
“Kita sekarang sedang bermain dengan isu yang diputarbelitkan pembangkang untuk modal Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13),” katanya.
Beliau turut mendakwa kumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sejak enam hari lalu ditaja parti politik tertentu.
“Saya pergi ke dataran malam kelmarin secara senyap bawa kereta kawan, saya nampak ada kereta berhenti hulur duit dan khemah makanannya ada dalang yang menyokong tindakan mereka,” katanya.
Free Malaysia Today