SHAH ALAM - NFCorporation (NFCorp) melahirkan rasa terkejut dan "kebingungan" dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial semalam bahawa pengarah-pengarah syarikat projek lembu daging itu akan disyorkan agar dikenakan tuduhan pecah amanah (CBT).
Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, NFCorp berkata, oleh kerana polis sendiri mengatakan siasatan masih dijalankan, kenyataan sedemikian adalah sesuatu yang bersifat "pramasa" untuk dikeluarkan.
"Kedua, nampaknya Pengarah Jenayah Komersial telah lupa bahawa syarikat-syarikat berkaitan NFCorp di mana dana disalurkan adalah anak-anak syarikat NFCorp," kata syarikat ini dalam kenyataan itu mengulas kenyaatan polis semalam.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, polis mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah.
Dua lagi pengarah syarikat itu merupakan anak Mohamed Salleh.
Syed Ismail berkata, cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain.
"Kita ada menyelitkan cadangan ini agar pihak Peguam Negara mengambil tindakan itu. Kertas siasatan ini akan dikembalikan dalam masa terdekat," katanya.
Isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang diterajui Mohamad Salleh, suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Ia semakin panas selepas pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.
NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.
"Ekoran laporan media bahawa Datuk Syed Ismail telah mengatakan bahawa siasatan polis ada menunjukkan wujudnya elemen-elemen CBT dan penipuan, NFCorp berpandangan bahawa kenyaatan itu dikeluarkan terlalu awal," katanya lagi, yang turut mengatakan bahawa syarikat itu telah diberi nasihat oleh peguam utama, Datuk Seri Shafee Abdullah.
NFCorp juga mempersoalkan ketelusan dan motif tindakan pihak polis mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan ia tindakan tidak adil yang seolah-olah mengatasi keputusan yang bakal hendak dibuat oleh Peguam Negara.
"Apakah Pengarah Jenayah Komersial cuba untuk mengambil alih kuasa Peguam Negara, yang merupakan pihak tunggal di bawah perlembagaan yang boleh memutuskan sama ada wujud jenayah atau tidak bagi tujuan pendakwaan," kata NFCorp.
Dalam kenyataannya, NFCorp juga berkata, pihaknya ingin bertanya kepada polis sama ada pihak berkuasa itu telah memberi pertimbangan sewajarnya dalam menentukan wujud elemen-elemen tidak jujur, komponen utama dalam kes CBT dan penipuan.
"Dalam tempoh tiga bulan dan lebih, pengarah-pengarah dan pengurusan dan pekerja NFCorp telah memanjangkan kerjasama penuh kepada polis dan SPRM di mana pengarah-pengarahnya telah melalui sesi temu bual yang mendalam.
"NFCorp akan terus memanjangkan kerjasama bagi memastikan kebenaran muncul," katanya.
Sinar Harian