Laporan berita yang berkait dengan YAB Menteri Besar Kelantan merangkap Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) dibawah tajuk 'PAS Pelawa Abdul Khalid Keahlian PAS' sebagaimana yang dilaporkan oleh portal online mstar adalah tidak tepat sama sekali.
Laporan akhbar tersebut boleh dirujuk di:http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/08/10/pas-terima-khalid/
Atau baca di bawah ini..
KOTA BARU: PAS sedia menerima Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli parti itu, kata Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yakob.
Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, pintu keahlian PAS sentiasa terbuka untuk Abdul khalid yang telah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu kerana masalah disiplin.
"Terpulanglah kepada beliau jika ingin menyertai PAS selepas ini kerana telah dipecat PKR.
"Tetapi, kita perlu menunggu pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan melihat nasihat yang akan diberikan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Abdul Khalid pada Sabtu telah dipecat keahlian oleh Jawatankuasa Disiplin PKR selepas enggan memberi laluan kepada Datin Sri Dr Wan Azizah Ismail untuk dilantik sebagai menteri besar yang baharu.
Tindakan Abdul Khalid mempertahankan kedudukannya bagaimanapun turut mendapat sokongan dan restu pimpinan tertinggi PAS yang merupakan anggota Pakatan Rakyat.
Ahmad memberitahu, PAS selain itu turut bersedia berjuang bersendirian sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.
"Kami mempunyai sejarah sendiri walaupun berbeza pendapat dengan Barisan Nasional (BN) dan Semangat 46. Saya bersetuju dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS mampu berjuang bersendirian sekiranya keluar daripada Pakatan Rakyat," jelasnya.
Ahmad bagaimanapun yakin bahawa PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat dengan menyifatkan krisis yang berlaku merupaka ujian disebalik hubungan dalam pakatan tersebut.
Perenggan kedua laporan mstar yang menyatakan 'Menteri Besar Kelantan memberitahu pintu keahlian PAS sentiasa terbuka untuk Abdul Khalid yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari sabtu kerana masalah disiplin' dengan disebut sedutan ucapan beliau yang berbunyi " terpulanglah kepada beliau jika ingin menyertai PAS selepas ini kerana telah dipecat PKR" adalah tidak benar sama-sekali.
Sebaliknya YAB Pemangku Ketua DUPP hanya menyatakan " itu kita tidak boleh nak komen, itu hak dia" apabila ditanya tentang masa depan politik Tan Sri Khalid selepas ini.
Dalam menjawab soalan kepada wartawan pada tengahari tadi di Perdana Resort ketika menghadiri majlis hari raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) beliau hanya menekankan agar masyarakat dan ahli PAS bertenang supaya dapat mewujudkan suasana terbaik dalam kemelut yang melanda Selangor.
Dan ujarnya "DUPP sendiri kembali kepada tarikh mesyuarat PAS Pusat yang akan berlangsung pada 17 ogos 2014 nanti dan kita tunggu apa yang diputuskan nanti"
Ujar beliau lagi "apa yang berlaku di Selangor kini adalah satu 'exercise' bagi membina kematangan berpolitik".
Beliau yang juga anggota Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) menegaskan bahawa ahli PAS perlu menghormati MSU yang merupakan badan tertinggi parti dan sentiasa memantau perjalanan PAS agar seiring dengan dasar dan prinsip PAS.
Beliau juga menyatakan bahawa Dewan Ulamak PAS Pusat tidak pernah membincangkan tentang urusan pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagaimana yang tersiar dalam berita headline TV3 pada jam 8 malam tadi.
Apa yang dinyatakan ialah perbincangan tentang hal tersebut akan dibincang dalam mesyuarat PAS Pusat dan MSU telah membincangkan hal ini, boleh jadi mereka yang melaporkan tersebut keliru antara Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak.
Disediakan:
Mohd Asri Mat Daud
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan
Merangkap Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat
Bertarikh 14 Syawal 1435/ 10 Ogos 2014