Kerajaan tidak akan melayan tuntutan wang tebusan daripada kumpulan bersenjata yang menculik Konstabel Zakiah Aliep, 26, di Pulau Mabul pada Sabtu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tuntutan itu tidak munasabah kerana anggota polis Marin berkenaan hanya menjalankan tugas kepada negara.
"Saya ingin mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara dalam perbualan telefon yang dibuat oleh penculik kepad isteri anggota polis dan juga kepada pegawai yang bertugas di polis Marin
"Dinyatakan mereka mohon 10 juta, tidak sebut sebut peso atau ringgit atau dolar Amerika Syarikat. Tetapi bagi saya, pihak sana harus mengetahui, pegawai polis kita hanya menjalankan tugas. Kalau mereka mahu wang pampasan atau tebusan, ia tidak munasabah kerana pasti pihak berkenaan tidak ada wang.
"Bagi pihak kerajaan kita tidak akan beri sebarang reaksi kerana tidak boleh sewenang-wenang memenuhi permintaan dari pihak penculik kerana akan menggalakkan lagi untuk mendapatkan wang haram," katanya.
Beliau ditemui selepas program bual bicara, Wanita Hari Ini yang bersiaran langsung di TV3 mengenai episod khas, Mesej Dari Penjara di Sri Pentas hari ini.
Ditanya motif penculik yang sebenar pada hari kejadian, Zahid menjelaskan hasil siasatan yang dilakukan penculikan bukan mensasarkan kepada anggota polis, sebaliknya pengusaha resort.
Namun katanya, anggota polis telah menjadi mangsa culik kerana menghalangi usaha pihak penculik ketika itu.
"Saya tidak boleh nyatakan strategi atau tindakan yang akan dilakukan segera kerana strategi tidak boleh dicerita kepada orang. Tetapi bukan lebih menanti mereka datang, bukan 'defensive' tetapi 'offensive'.
"Kita mahu dengan penambahan anggota polis, masyarakat tahu kerajaan serius dalam menangani masalah keselamatan bukan sahaja di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) tetapi juga di Timur Sabah.
“Kita juga memantau pemastautatin tetap atau pemegang pas residen atau mereka yang tinggal haram yang jadi tali barut, mereka tidak akan terlepas,” tegasnya lapor MalaysiaGazette
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan sebuah akhbar hari ini mengenai tuntutan wang tebusan tersebut.
Menurutnya, laporan itu adalah khabar angin semata-mata dan ia membahayakan keselamatan anggota pasukannya.