Meskipun menerima tekanan untuk disingkirkan daripada kedudukannya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap tenang menghadapi desakan termasuk yang terbaharu daripada wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor.
Malah Menteri Besar itu tidak kisah jika dakwaan kononnya akan wujud usul undi tidak percaya terhadapnya oleh Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC).
"Tak apa, itu (usul undi tidak percaya) ada peruntukannya dalam enekmen negeri Selangor.
"Jadi bila sudah ada dalam enakmen, apa pun boleh dibuat mengikut peruntukan," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis berbuka puasa bersama media di sebuah hotel di sini.
Ditanya sama ada usul undi tidak percaya terhadapnya akan mendapat sokongan daripada wakil rakyat sekiranya berjaya dibentangkan, beliau berkata: "Saya tidak buat spekulasi dalam hal ini."
Awal hari ini (Selasa) timbul spekulasi berhubung mesyuarat khas BBC yang dipengerusikan musuh politik Abdul Khalid, Mohamed Azmin Ali bahawa satu usul undi tidak percaya akan dibuat terhadap Menteri Besar itu.
Bagaimanapun Azmin ketika ditemui selepas mesyuarat itu menafikan isu berkenaan dan sebaliknya menggesa semua pihak menghentikan fitnah dan spekulasi terhadap Abdul Khalid ~ mStar
Kata Azmin lagi... "Saya nasihatkan hentikan semua spekulasi, kita ajak pimpinan dan anggota parti untuk tumpu kerja membangunkan negeri Selangor.
"Di bulan Ramadhan yang mulia ini jangan kita lontarkan fitnah, jangan buat serangan peribadi dan kita kerja sebagai satu pasukan untuk bantu rakyat," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor (BBC) di Bangunan SUK di sini pada Selasa.
Bagaimanapun Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Antarabangsa berkata, isu pertukaran Menteri Besar hanya akan dibincangkan secara kolektif apabila tiba masanya.
"Pendirian kita jangan teruskan spekulasi, jangan buat fitnah, tumpu kerja untuk membangunkan negeri Selangor dan ini yang kita bincangkan dalam mesyuarat hari ini, kita bincang isu-isu yang memberikan kepentingan dan kebajikan rakyat.
"Pilihan raya sudah selesai, keputusan telah dibuat dan sekarang masa untuk kerja. Bila ada keperluan untuk membincangkan perkara (pertukaran MB) itu kita akan bincang secara kolektif," katanya.