
Biasanya dalam sebuah Parti, pemimpin adalah dipilih tetapi berbeza dengan mamat ini.. dia tawar diri sendiri sebagai Presiden KITA.. Nampak sangat gila kuasa..
Zamil sedia terajui Kita, mahu Zaid undur
PUTRAJAYA - Pengerusi Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim sanggup menggalas amanah mengetuai parti itu jika Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim merasakan tidak lagi mampu menerajui pertubuhan itu.
“Saya berani jamin, akan ada ramai lagi tokoh tertentu akan menyertai Kita jika Zaid tidak ada dalam parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Malah, beberapa pengerusi peringkat negeri juga sebulat suara melahirkan pendirian tidak bersetuju dengan Zaid yang semalam mengumumkan akan membubarkan parti itu.
Sehubungan itu, mereka juga mendesak agar Zaid mengundurkan diri secepat mungkin jika merasakan tidak lagi mampu menerajui parti.
Mengulas lanjut, Zamil memberitahu, EGM yang dimaksudkan tidak perlu diadakan dan jika Zaid mengakui tidak mampu menerajui parti, adalah lebih baik keluar dari parti secara terhormat kerana ada orang lain yang sukarela boleh menerajui parti.
"Mengapa beliau (Zaid) perlu merosakkan parti sedangkan selama ini kami di peringkat negeri menjaga parti dengan baik walaupun parti Kita ini kecil sahaja.
"Kami terkilan kerana keputusan ini dibuat oleh beliau hanya melalui media tanpa merujuk dahulu pimpinan negeri-negeri," katanya.
Pendirian tidak bersetuju dengan Zaid dilahirkan oleh pemimpin Kita dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Sabah.

Hadir sama, Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof; Pengerusi Selangor, Azmi Selangor dan wakil wanita tunggal Selangor, Rahayu Wakiman. Suara pemimpin Pulau Pinang dan Sabah diwakili oleh Kedah dan Johor.
Semalam, Zaid berkata, akan membubarkan parti itu untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa mereka tidak memihak kepada pembangkang.
Menurut Zaid, Kita akan dibubarkan menerusi mesyuarat luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, Kita perlu dibubarkan, "untuk membuang mana-mana dan semua keraguan yang kita sesungguhnya menyokong pembangkang", khasnya ketika sesetengah anggotanya di Kedah dan Pulau Pinang dengan secara terbuka kritikal mengenai pakatan pembangkang Pas-DAP-PKR.
Beliau berkata, ideanya menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.
Zaid, bagaimanapun, tidak memberitahu bila EGM itu akan diadakan. Parti itu yang genap setahun bulan lepas ditubuhkan selepas Zaid meninggalkan PKR ekoran dakwaan ada penyelewengan dalam pemilihan.
Kita bahagian Melaka dibubarkan pada 11 Januari lalu dan 60 orang anggotanya memilih menyertai PKR.
Sinar Harian