Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan penempatan penduduk Kampung Chubadak Dalam, Sentul Ahad lalu sebagai 'berani sesama bangsa sendiri'.
Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, sikap pengecut DBKL bertindak tidak adil kepada penduduk Melayu di situ, adalah suatu perbuatan yang memalukan sebagai agensi penguatkuasa kerajaan tempatan.
Katanya, beliau tidak mempertikaikan penguatkuasaan DBKL dalam merangka perancangan bandar raya itu, tetapi mereka seharusnya perlu bijaksana menangani kes yang melibatkan penempatan haram atau setinggan.
"Memang penempatan itu dibina secara haram sejak lebih 40 tahun lalu, tetapi pegawai DBKL yang rata-rata berkelulusan tinggi, perlu berhemah menangani masalah ini.
"Mereka boleh ajak penduduk berbincang, cari jalan penyelesaian. Apabila sudah capai kata sepakat, barulah DBKL boleh merobohkan penempatan itu dan penduduk pula mencari tempat tinggal sementara,” katanya.
Tetapi menurut Irwan Fahmi, DBKL langsung tidak menggunakan kebijaksanaan, melainkan penduduk di situ diberi notis supaya mengosongkan rumah masing-masing pada Oktober tahun lalu dengan alasan kawasan itu akan dimajukan.
Kata beliau, walaupun penduduk diberi pampasan, namun jumlahnya dikatakan tidak setimpal untuk mereka membiayai kos menyewa rumah baru.
"Sedangkan syarikat yang mendapat kontrak untuk memajukan kawasan Chubadak Dalam itu dikatakan agak sombong dan angkuh apabila mendabik dada kononnya mereka mempunyai banyak projek besar di luar negara.
"Saya sedih kerana DBKL sanggup mengagungkan syarikat yang sombong ini dan pada masa sama menafikan hak orang Melayu yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya. - MalaysiaGazette