Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas gagal menyelesaikan sejumlah hutang kepada sebuah bank.
Pengisytiharan berkenaan boleh menyebabkan Abdul Aziz hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, sekali gus membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, ia akan berlaku jika Abdul Aziz gagal melangsaikan bayaran tunggakan pada bank berkenaan bagi mengetepikan notis kebangkrapan itu.
Notis kebankrapannya diiklankan dalam beberapa akhbar tempatan oleh peguam pemiutang, Alliance Investment Bank Berhad, Tetuan Shaikh David Raj pada Rabu.
Menerusi notis itu, permohonan bagi mengistiharkan Abdul Aziz sebagai muflis dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Mac lepas dan perintah kebenaran terhadap permohonan itu diberikan oleh mahkamah sama pada 29 Mei lalu.
Notis muflis yang diiklankan di akhbar tempatan yang mula disebarkan di internet sejak petang Rabu.
Sementara itu, Abdul Aziz ketika dihubungi mStar Online mengesahkan kesahihan notis berkenaan dan mengakui wujud tunggakan pembayaran oleh sebuah syarikat milik ahli keluarganya.
Enggan mendedahkan jumlah tunggakan itu, Abdul Aziz berkata, beliau sudah menghubungi pihak bank bagi menyelesaikan baki pembayaran dalam masa terdekat.
"Betul notis itu dikeluarkan terhadap saya. Ini urusan pinjaman oleh syarikat yang diusahakan keluarga saya. Tapi sejak 2007 saya sudah tidak berada dalam organisasi syarikat itu.
"Tapi tak apa, ia tetap milik ahli keluarga dan ada kaitan dengan saya. Saya akan selesaikannya dalam masa terdekat. Perbincangan dengan pihak bank mungkin akan dibuat sedikit masa lagi," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Salinan notis muflis terhadap Abdul Aziz mula tersebar di internet sejak lewat petang Rabu dengan pelbagai andaian kemungkinan bakal diadakan satu lagi PRK kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu Abdul Aziz berkata, beliau juga tidak menyedari mengenai tunggakan pembayaran berkenaan dan hanya mengetahui kewujudan notis tersebut pada Rabu.
"Saya pun tak tahu, malam semalam (Rabu) saya menerima banyak SMS dan maklumat mengenai perkara ini.
"Pagi ini baharu saya buat semakan dengan bank," katanya.
mStar juga melaporkan..
Status sebagai Ahli Parlimen akan terlucut secara automatik apabila seseorang wakil rakyat itu mendapat perintah kebankrapan daripada mahkamah yang mengisytiharkannya muflis.
Bagaimanapun, sumber Jabatan Insolvensi memberitahu mStar Online, wakil rakyat itu masih boleh bergelar Yang Berhormat (YB) jika menerima notis kebankrapan.
“Sekiranya beliau gagal mematuhi notis kebankrapan, kemungkinan pihak pemiutang (seperti bank) akan meneruskan tindakan untuk memfailkan permohonan perintah kebankrapan kepada mahkamah terhadap penghutang.
“Jika penghutang itu adalah Ahli Parlimen, bermakna akan terlucut jawatan itu secara automatik dengan serta-merta apabila menerima perintah kebankrapan,” katanya.
Sumber itu berkata, selagi penghutang belum mendapat perintah kebankrapan daripada mahkamah, hutangnya dengan pemiutang boleh dilangsaikan.
Katanya, hanya apabila penghutang diisytiharkan bankrap, kes kebankrapannya perlu diselesaikan dengan Jabatan Insolvensi yang bertanggungjawab mentadbir kes berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mengikut undang-undang, kedudukan seorang wakil rakyat akan terlucut sekiranya diisytiharkan muflis.
“Namun, pada masa ini SPR belum menerima maklumat rasmi mengenai kedudukan Datuk Abdul Aziz.
“SPR perlu menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat sebelum apa-apa keputusan mengenai kekosongan kerusi parlimen itu,” katanya yang mengulas mengenai sekiranya diisytiharkan muflis, Abdul Aziz akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, sekali gus membawa kepada pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
~ mStar