Quantcast
Channel: Anak Sungai Derhaka
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9417

Himpunan Derita Rakyat kerja tak berfaedah Mukhriz kata..

$
0
0

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan Himpunan Derita Rakyat yang bakal dianjurkan PAS di Baling pada 5 April ini sebagai tidak membawa sebarang faedah bagi rakyat Kedah.

Menurut beliau, nama himpunan "Derita Rakyat" itu hanyalah helah gimik bagi menarik simpati rakyat dan sebaliknya penganjur himpunan tersebut sengaja memperguna alasan memperingati demonstrasi Baling 1974.

Justeru itu, Mukhriz menggesa agar tiada sesiapa pun dari kalangan rakyat di negeri Jelapang Padi yang hadir ke himpunan berkenaan dan memberi amaran agar tidak mudah diperdaya atau tertipu dengan taktik murahan parti politik pembangkang tersebut.

"Kita harap apabila ada pemimpin pembangkang datang ke Kedah, tidak perlulah rakyat hadir walaupun sekadar nak dengar apa yang mereka katakan.

"Kita pun sudah tahu apa yang mereka nak kata. Kononnya mereka mahu memperingat peristiwa Baling ke-40 tahun. Itu semua kerja yang tidak berguna," katanya di sini ketika merasmikan majlis penutup "Jasa Mu Dikenang JKKK" peringkat Negeri Kedah di sini, semalam.

Mukhriz berkata, sekiranya penganjur himpunan itu berhasrat untuk terus mempermainkan rakyat dengan isu kenaikan harga barang dan penurunan harga getah, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut sedang diatasi oleh Kerajaan Negeri dengan bijaksana.

"Saya telah meminta Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Ku Abdul Rahman dengan agensi kerajaan persekutuan khususnya yang terlibat dengan getah untuk memberi taklimat dan penjelasan mengenai situasi yang sedang berlaku dalam soal penurunan harga getah.

"Itu cara terbaik dan kaedah yang dilakukan oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Berbeza dengan pembangkang, kerja mereka hanya untuk menimbulkan prasangka buruk rakyat terhadap kerajaan," kata Mukhriz lagi.

Katanya, Kerajaan Negeri Kedah sentiasa mencari jalan penyelesaian kepada masalah rakyat dan konsisten melaksanakan tindakan-tindakan yang mampu memberi kesan positif kepada masyarakat di negeri itu dalam menangani cabaran yang dihadapi.

"Pada ketika ini, kerajaan negeri sedang berusaha mencari cara meningkatkan pendapatan rakyat termasuk menjana sumber pendapatan," jelasnya dihadapan lebih 4,000 orang jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Selain itu, Exco Sains, Inovasi Sains, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi, YB Norsabrina Mohd Noor pula menegaskan bahawa pihak kerajaan sedang memantau perkembangan dan kesan dari masalah yang dihadapi rakyat melalui pengkalan data bersepadu dari seluruh negeri.

Justeru itu katanya, berdasarkan maklumat yang ada, pihak Kerajaan Negeri akan terus menerus mencari jalan membantu rakyat di Kedah dalam sebarang keadaan atau masalah yang dihadapi memandangkan rakyat di negeri itu merupakan "aset" yang tidak ternilai.

"Kita sangat menghargai dan mengambil berat tentang rakyat. Bukan sekadar membalas budi rakyat Kedah yang mengembalikan negeri ini ke pangkuan BN, kami akan cuba pastikan rakyat Kedah terbela dalam semua aspek kehidupan.

"Kami sedang membangunkan pengkalan data di mana setiap masalah yang terjadi di Kedah akan mendapat perhatian secara terus dari pihak kerajaan. Jadi, mudahlah nanti kami nak bantu dan bela rakyat di negeri kita ini," katanya ketika ditemui sejurus selepas majlis berkenaan berakhir.

Turut hadir di program berkenaan ialah Exco Penerangan, Pembasmian Kemiskinan dan Luar Bandar, Datuk Tajuddin Abdullah, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Badrul Hisham Hashim dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Md Rozai Shafian. - UtaraNews.com


Viewing all articles
Browse latest Browse all 9417