Dalam usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengamalkan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), tiba-tiba rakyat dikejutkan dengan perubahan baru yang dibuat apabila beliau memperolehi Mercedes Benz S300L warna Perak menjelang tahun baru 2014.
Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Jait dalam kenyataan beliau menyatakan kereta tersebut yang asalnya berharga RM657,218 itu dibeli dengan harga diskaun RM298,263.75 dan boleh digunakan oleh Ketua Menteri selain beliau pada masa yang akan datang.
Manakala kereta Toyota Camry yang telah digunakan baru dua bulan itu telah ditukar atas persetujuan Majlis Mesyuarat Exco Negeri pada bulan November yang lalu.
Sementara itu 15 kereta Toyota Camry yang dibeli oleh Kerajaan Negeri pada 31 Oktober 2013 dengan harga RM113,500 setiap buah turut menjadi persoalan kepada masyarakat khususnya rakyat negeri ini.
Bendahari NGO Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Pulau Pinang, Abdullah Md Nor yang dihubungi berkata, dalam situasi yang tidak menentu, rakyat ingin melihat pemimpin turut menunjukkan teladan dengan berjimat cermat.
"Jika pemimpin menasihatkan rakyat supaya berjimat-cermat, maka mereka juga harus menunjukkan cara yang terbaik untuk diteladani.
"Namun begitu, sekiranya pemimpin sendiri tidak menuruti apa yang dilaung-laungkan dalam isu penjimatan, sudah pasti rakyat mempunyai persepsi yang akan menimbulkan prejudis bahawa ia hanya slogan semata-mata, " jelasnya lagi.
Bagi Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak pula ketika diminta untuk memberi pandangannya berkata, tindakan Ketua Menteri tersebut seolah-olah tidak mempunyai integriti apabila mementingkan kedudukan melalui mandat yang diberikan oleh rakyat.
"Jika Perdana Menteri dan timbalannya boleh menggunakan kereta nasional,kenapa seorang pemimpin negeri yang sering melaungkan slogan CAT tidak dapat memanfaatkan kereta nasional.
"Sekiranya benar beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berjuang untuk menurunkan kos kehidupan, adalah memadai baginya menggunakan kereta Toyota Camry yang baru dibeli dalam tempoh dua bulan oleh Kerajaan Negeri.
"Dalam usaha Kerajaan Pusat sedaya upaya mengurangkan kos urus tadbir, sebaliknya Ketua Menteri DAP tanpa disedari cuba membazirkan kos urus tadbir dengan menjadikan isu keselamatan terpelihara dengan menggunakan Mercedes Benz S300L.
"Bagi saya, pemimpin sebegini rupa merupakan pemimpin yang tiada berintegiriti, malah kepentingan diri melebihi keutamaan yang tidak seharusnya menjadi ikutan kepada pimpinan yang lain, " ujar Rahmad lagi lapor MalaysiaGazette
Sementara itu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang mengulas mengenai pembelian tersebut menyifatkannya sebagai pembelian dilihat tidak memilih masa tepat untuk membeli kereta mewah Mercedes Benz S300L ekoran ianya memberi imej buruk kepada Pakatan Rakyat (PR).
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, Guan Eng harus lebih peka kepada sensitiviti rakyat yang kini menanggung beban kenaikan harga barang dan penarikan semula subsidi.
"Saya rasa semua pengamal politik harus mempunyai sensitiviti yang sama sama ada dari pihak barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan kerana rakyat kini sedang menempuhi kesukaran dan 2014 akan menjadi lebih sukar," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
"Sungguhpun nilainya sangat bagus, saya pasti tiada siapa yang akan mempersoalkan tindakan (Guan Eng) membelinya. Tetapi saya rasa ianya akan memberi ruang kepada BN untuk memanipulasikan isu tersebut," jelas Rafizi.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, rakan Pakatannya harus lebih berhati-hati untuk tidak terjerumus kepada 'perangkap' BN mengenai isu ini.
"Dalam kes kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang ini, saya rasa ianya perbelanjaannya berbaloi kerana kereta tersebut sangat bagus. Maka ianya baik untuk pelaburan," ujarnya lagi lapor RakyatNews