Akhbar mingguan The Heat digantung kerana mereka tidak memaklumkan berlaku pertukaran pemilikan dan hala tuju daripada sebuah akhbar perniagaan, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
“Permit penerbitan The Heat mensyaratkan pemilik untuk memberitahu KDN jika berlaku pertukaran pemilikan.
“Tambahan pula, permit adalah untuk akhbar perniagaan mingguan.
Bagaimanapun, syarat-syarat ini dilanggar,” kata KDN dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Akhbar mingguan The Heat yang dilancarkan September lalu digantung pada minggu ini selepas menerima surat tunjuk sebab kedua daripada KDN.
Sebelum ini, KDN menafikan dakwaan bahawa penggantungan The Heat adalah disebabkan laporan tentang perbelanjaan tidak berhemah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
“Keputusan penggantungan tidak ada kena mengena dengan laporan The Heat mengenai Perdana Menteri dan sebarang tuduhan sebaliknya adalah tidak berasas,” kata jurucakap KDN, dipetik oleh The Wall Street Journal.
KDN berkata, permit penerbitan akhbar mingguan berbahasa Inggeris itu digantung kerana mereka melanggar syarat ditetapkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penggantungan akhbar The Heat berkuatkuasa serta merta selepas diberikan surat tunjuk sebab.
Beliau berkata, ia merupakan prosedur biasa sementara menunggu jawapan kepada surat tunjuk sebab, sebelum tindakan selanjutnya daripada KDN.
“Penerbit mempunyai masa sehingga 24 Disember untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka,” kata Wan Junaidi kepada The Malaysian Insider.
Najib, setelah mengambil alih pucuk pimpinan daripada Tun Abdullah Badawi, mengumumkan beberapa langkah ke arah ruang demokrasi, termasuk kelonggaran sekatan terhadap media.
Bagaimanapun, tindakan menggantung The Heat dilihat sebagai percubaan mengembalikan era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menunjukkan kawalan ketat ke atas media.
The Malaysian Insider difahamkan, walaupun KDN tidak menyatakan secara spesifik berhubung mana-mana artikel, dipercayai ia disebabkan oleh rencana muka depan akhbar itu bertajuk “All eyes on big spending Najib”dalam edisi 23-29 November, 2013.