Ketika ini, sedang rakyat Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor mengharungi derita banjir dengan kemusnahan tempat tinggal dan harta benda tanpa sumber makanan mencukupi, bekalan elektrik dan air yang terputus, selain anggota keselamatan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menyelamat mangsa dan menghulurkan bantuan, di mana parti yang sering mendabik dada sebagai "pembela rakyat"?
Sekadar melaungkan retorik di Perhimpunan Agung yang sedang berlangsung di dewan berhawa dingin sambil berbangga bahawa parti itulah penyelamat bangsa?
Atau sekadar meninjau dari helikopter tanpa turun padang mengalami sendiri penderitaan rakyat yang majoritinya berbangsa Melayu dari kawasan pedalaman (yang majoritinya telah memenangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13)?
Di mana Kelab Putra Umno 1Malaysia yang begitu gigih memberi bantuan kemanusiaan sejauh Gaza di Palestin, Somalia dan terbaru di Filipina? Mengapa diam membisu dalam krisis banjir yang mengancam nyawa ribuan rakyat di tanah air sendiri?
Di mana pula sayap Puteri yang katanya tidak mahu sekadar dianggap "penyeri" parti? Di mana pula sayap Wanita yang mendabik dada sebagai "tulang belakang" parti? Hanya sekadar jadi perayu undi di musim pilihan raya?
Adakah sayap elit Pemuda pula sedang bersenang-lenang di hotel lima bintang usai berpantun, menyanyi dan berlawak jenaka di persidangan agung?
Lebih pelik, kelibat Menteri Besar Pahang dan Terengganu pula langsung tidak kelihatan di sisi rakyat! Adakah kerana ini belum lagi musim pilihan raya umum?
Seharusnya parti yang mengaku "pembela rakyat" ini menangguhkan sidang agungnya itu serta-merta dan segera mengerahkan ahlinya yang mencecah ratusan ribu turun padang menjadi sukarelawan semasa dan pasca banjir.
Tidak cukup sekadar Presiden parti meninjau pusat pemindahan dan bersalaman dengan para mangsa banjir tanpa sebarang jaminan bantuan segera apatah lagi jaminan keselamatan para mangsa yang masih terperangkap di kediaman masing-masing.
Anehnya, Presiden parti "pembela rakyat" ini yang juga Perdana Menteri yang begitu ligat memberi pelbagai jenis bantuan berjuta ringgit hampir setiap hari sebelum PRU13 lalu sekadar memberi kenyataan bahawa "kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kepada mangsa banjir" tanpa sebarang pengumuman bantuan khusus.
Lebih menjelikkan lagi sikap segelintir ahli palimen dari parti "pembela rakyat" ini yang memperkecil-kecilkan usaha Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sehingga usul tergempar isu banjir di Kuantan yang dikemukakannya semalam ditolak mentah-mentah oleh Speaker, walaupun penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak memuaskan.
Sudahlah tidak turun padang menghulurkan bantuan kepada para mangsa, terjerit-pekik pula di Dewan Rakyat menentang usaha murni Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat marhaen.
Ternyata inilah wajah sebenar pemimpin parti "pembela rakyat" ini! Mengapa begitu sukar sekali pemimpin mereka memahami bahawa dalam keadaan krisis sebegini, politik wajib diketepikan dan para pemimpin perlu bersatu mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat?
Lihat pula kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyatakan kemudahan logistik yang terhad menjadi punca bantuan lambat disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa negeri yang sedang dilanda banjir.
Persoalannya adakah ini kali pertama negara ini, terutamanya negeri-negeri Pantai Timur dilanda banjir besar? Kenyataan Menteri ini menunjukkan betapa rendah komitmen kerajaan BN yang mendabik dada kononnya mendahulukan rakyat dalam isu banjir ini.
Umum mengetahui menjelang akhir tahun, lumrahnya musim tengkujuh atau monsun timur laut akan melanda negara tetapi kerajaan langsung tidak peka akan isu-isu yang harus ditangani untuk mengelakkan kemusnahan besar ekoran bencana ini.
Tiada usaha pencegahan banjir atau peningkatan infrastruktur di sepanjang sungai-sungai seperti tebatan banjir dan sebagainya, dan tiada pula persediaan kelengkapan untuk menghadapi musim banjir saban tahun.
Lalu terjadilah situasi seperti sekarang ini; kekurangan bantuan makanan, ubat-ubatan dan kelengkapan asas bagi mangsa banjir, keadaan pusat pemindahan banjir yang serba kekurangan, kekurangan fasiliti untuk menyelamat mangsa di kawasan terpencil seperti bot dan helikopter.
Ironinya, kita punya sejumlah jet peribadi untuk keperluan pemimpin tertinggi negara dan anak isteri ke luar negara tanpa had peruntukan.
~ Soraya Salim