Gambar yang anda saksikan di atas, mungkin tidak akan disiarkan di Malaysia kerana ia bukannya berlaku di Malaysia, sebaliknya di Negara Brunei Darussalam.
Dalam satu kejadian, pengawal pengiring DYMM Sultan Brunei telah mengalami kemalangan jalanraya. Baginda Sultan terus keluar dari keretanya dan bertindak sebagai polis trafik yang mengawal aliran kenderaan sementara usaha menyelamatkan pengawal pengiring yang masih terbaring kesakitan dilakukan.
Ada teladan yang sangat baik untuk diperhatikan di dalam 'babak' ini.
Salah seorang khalifah Islam yang kerap keluar malam untuk melihat masalah rakyat ialah Khalifah Umar Al-Khattab r.a. Syaidina Umar Al-Khattab r.a merupakan antara penentang Islam yang paling keras pada peringkat awal tetapi hatinya cair kerana mendengar pembacaan al Quran. Pada zaman jahiliahnya, Syaidina Umar Al-Khattab pernah mempersoalkan amalan menyembah berhala menerusi berhala kurma yang dimakannya. Syaidina Umar r.a juga merupakan antara orang yang paling berani melakukan solat secara terbuka di hadapan Kaabah dan diperhatikan oleh kaum Quraisy musyrikin tanpa dapat berbuat apa-apa. Bahkan Syaidina Umar r.a jugalah yang secara terang-terangan memberitahu kaumnya bahawa dia akan berhijrah ke Madinah dan mencabar sesiapa sahaja yang ingin menghalang hijrahnya dengan pedang.
Apabila dia diangkat sebagai khalifah menggantikan Syaidina Abu Bakar As-Siddiq, perkara pertama yang dilakukan adalah dengan melihat masalah rakyat dan mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya. Dia tidak melakukan kempen-kempen retorik yang mempersalahkan pihak lawan sebaliknya melihat sendiri sepertimana dalam cerita termasyhur berkenaan gadis penjual susu dan ibunya, selain cerita tentang Syaidina Umar r.a menanggung guni gandum untuk diberikan kepada seorang ibu yang merebus batu untuk anak-anaknya yang sedang kelaparan. Syaidina Umar r.a tidak sahaja menggalas guni gandum, bahkan mengisarnya menjadi tepung dan kemudian memasak untuk keluarga tersebut sebagai menebus kesilapannya kerana alpa walaupun pada masa yang sama, sebagai kepala kerajaan, Syaidina Umar r.a ada pegawai-pegawai yang telah ditugaskan untuk menangani masalah rakyat.
Dalam sejarah kesultanan Melayu pula, antara sultan yang pernah meneladani sikap Syaidina Umar Al-Khattab adalah, Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Melaka Ke-7 yang memerintah dari tahun 1477-1488. Antara cerita popular tentang satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya di Malaysia selepas Parameswara yang dimakamkan di Tanjung Tuan, Port Dickson, adalah tentang rondaan malam yang dilakukannya dan hasilnya baginda berjaya menangkap pencuri dan perompak sekaligus menyanggah laporan Temenggung yang mengatakan Melaka dalam keadaan selamat.
Aku copy dari SINI