Kerajaan terus memberi jamin bahawa semua lapisan masyarakat akan menikmati tarif elektrik mampu dibayar walaupun ia telah menyemak semula harga gas asli untuk Semenanjung.
Ketika mengumumkan tarif baharu itu hari ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata subsidi 16.2 sen setiap kilowatt jam (kWh) akan dikekalkan untuk pengguna domestik yang menggunakan bekalan elektrik dalam kategori 0-200kWh/bulan.
Ini bersamaan 74 peratus purata tarif dalam kategori pengguna.
Beliau berkata kerajaan juga akan mengekalkan subsidi 14.1 sen/kWh atau 59 peratus daripada purata tarif untuk pengguna domestik dalam kategori 201-300kWh/bulan.
Ongkili berkata demikian ketika mengumumkan semakan tarif elektrik di Semenanjung, Sabah dan Labuan, yang melibatkan pengguna industri dan komersial manakala sejumlah besar pengguna domestik, tidak terjejas.
Purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWh (atau 14.89 peratus) daripada purata semasa 33.54 sen/kWh, kepada 38.53 sen/kWh.
Sejak 1997, katanya kerajaan telah menetapkan harga gas domestik pada tahap lebih rendah daripada kadar pasaran untuk menjamin semua lapisan masyarakat menikmati tarif elektrik mampu dibayar.
Ongkili berkata subsidi itu, atau lebih tepat lagi hasil yang hilang bagi tahun lepas ialah sebanyak RM12 bilion.
"Sebagai rancangan berterusan, rasionalisasi subsidi dan langkah ke arah mekanisme harga gas berdasarkan gambaran pasaran telah dipertimbangkan sebagai langkah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara," katanya.
Di samping itu, kerajaan harus menjamin bahawa syarikat utiliti terus membaiki prasarana bekalan elektrik dan operasi, dan oleh sebab itu mereka perlu menanggung beban kos menjana dan membekal elektrik yang meningkat.
Di Malaysia hari ini, minyak fosil ialah sumber utama bahan bakar untuk menjana elektrik. Di Semenanjung Malaysia, 94.8 peratus daripada campuran bahan bakar berasal dari bahan fosil iaitu gas (51.5 peratus) dan arang batu (43.3 peratus).
Baki campuran bahan bakar itu disumbangkan oleh hidro (4.2 peratus) dan sumber tenaga boleh baharu (satu peratus). - Bernama