Quantcast
Channel: Anak Sungai Derhaka
Viewing all articles
Browse latest Browse all 9417

PAS seperti 'Lebai Malang' kata Utusan

$
0
0

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti merupakan penentuan kepada Umno sama ada dapat meneruskan survival politiknya ataupun tidak, kata akhbar pro-kerajaan Utusan Malaysia hari ini.

Dalam edisi Mingguan Malaysia hari ini, penulis rencananya Zulkiflee Bakar berkata Umno perlu mempersiapkan diri dan bersedia untuk menghadapi PRU14 nanti.

"Jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dianggap ‘ibu kepada segala pilihan raya’, PRU14 pula adalah detik penentuan sama ada Umno dapat meneruskan survival politiknya atau tidak," kata Zulkiflee dalam ruangan rencana hari ini.

Beliau menggesa agar pemimpin dan ahli Umno tidak terleka dan menjadikan Perhimpunan Agung kali ini sebagai medan untuk mengukuhkan parti.

"Pemimpin dan ahli Umno tidak harus leka dengan menganggap perhimpunan kali ini tidak ada apa signifikannya memandangkan pilihan raya sudah berlalu dan pemilihan sudah dilakukan.

"Sebaliknya, Umno perlu menunjukkan komitmen untuk menjadi parti tonggak kepada Barisan Nasional (BN) tidak pernah luntur biarpun menghadapi apa juga asakan dan tekanan daripada pakatan pembangkang," katanya lagi.

Menurut beliau, parti pembangkang selepas berakhir PRU13 pada 5 Mei lalu telah pun memulakan kempen dan kerja untuk mendapatkan sokongan pengundi.

"Apa yang perlu difahami, pakatan pembangkang sudah mula bekerja sebaik sahaja impian mereka untuk menumbangkan BN terkubur dalam pilihan raya umum lalu.

"Mereka sudah mula menyusun gerak kerja khususnya dalam pendaftaran pengundi baru," katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan kemenangan Umno dalam PRU14 juga penentu kepada masa depan orang Melayu dan maruah Islam.

"Kemenangan dan kejayaan Umno dalam pilihan raya itu bukanlah semata-mata kerana survival politik parti tersebut tetapi demi memastikan masa depan orang Melayu terjamin dan maruah Islam dapat dipertingkatkan," katanya lagi.

Tiada kesalahan bagi Umno meneruskan agenda kepentingan kaum Melayu, katanya lagi.

"Tidak perlu ada perasaan bimbang atau takut dalam soal ini kerana membela nasib orang Melayu bukanlah satu kesalahan dan mempertahankan martabat Islam bukanlah satu dosa," tegas beliau.

Bagaimanapun, Zulkiflee berkaa Umno perlu berwaspada agar tidak menjadi seperti PAS yang menang bersorak kampung tergadai.

"Kita tidak mahu melihat Umno menjadi seperti PAS yang sentiasa sahaja berada dalam situasi ‘lebai malang’ menang sorak kampung tergadai.

"Umno perlu mempertahankan jati diri sebagai parti yang memperjuangkan Melayu dan sentiasa bersikap adil kepada kaum lain apabila menjadi tonggak pemerintahan negara," katanya lagi.

Menurut beliau, PAS mula menyedari tentang betapa pentingnya sokongan orang Melayu selepas berakhir PRU13 lalu kerana menyedari peranan mereka sekadar "Pak Turut" dalam Pakatan Rakyat (PR).

"PAS mula bercakap soal mendapat sokongan orang Melayu.

"Sedangkan sebelum ini pemimpin-pemimpin parti itulah yang mengeluarkan pelbagai kenyataan dan 'fatwa' yang menuduh Umno bersikap assabiyah apabila memperjuangkan orang Melayu," katanya lagi.

Situasi Umno dan PAS berbeza sama sekali, Zulkiflee menyifatkan parti Islam tersebut sekadar sebagai sebuah parti "Pak Turut" manakala Umno pula dominan dalam BN.

"Tetapi apa yang perlu diingat kekuatan PAS dalam pakatan pembangkang bukanlah seperti mana Umno dalam BN. PAS bukanlah dominan sebaliknya akan kekal sebagai Pak Turut sahaja," katanya lagi.

Bagaimanapun PAS dilihat mempunyai kelebihan daripada segi ketokohan pemimpin berasaskan agama dalam parti tersebut, oleh sedemikian langkah melantik Ustaz Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini adalah tepat untuk menyekat daripada orang Melayu terpengaruh dengan parti pembangkang tersebut.

"Umno perlu bersedia berhadapan dengan situasi ini dan langkah pucuk pimpinan parti itu melantik pendakwah seperti Ustaz Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno adalah tepat.

"Kehadiran beliau bersama-sama agamawan lain dalam Umno sudah pasti mampu menjadi pembimbing kepada kepimpinan Umno untuk memperkasakan lagi agenda membantu orang Melayu dan memartabatkan umat Islam," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, gesaan juga dibuat kepada perwakilan dan ahli Umno yang berkampung pada minggu ini di PWTC agar membawa agenda persiapan dan persediaan untuk menghadapi PRU14 nanti.

"Berikutan itu jadikanlah perhimpunan kali ini medan untuk bermuhasabah, janganlah membiarkan PWTC sekadar gelanggang untuk melaungkan kata-kata semangat tetapi apabila pulang ke negeri masing-masing, bak kata orang Kedah, ‘perangai dok macam tu jugak’.

~ The Malaysian Insider

Viewing all articles
Browse latest Browse all 9417