Mula-mula kita baca dulu apa anggapan Najib terhadap Utusan sewaktu beliau merasmikan bangunan baru akhbar tersebut minggu lalu..
"Jika Utusan sebagai suara lidah keramat Melayu, lambang imej Utusan juga lambang kejayaan orang Melayu,"
"Peranan Utusan Malaysia diakui membuka minda rakyat kepada maklumat mutakhir ... memang benar jika dilihat sejarah, Utusan adalah milik Melayu yg begitu berjasa kepada negara,"
Najib juga turut berkata, pihaknya akan menukar nama Jalan Enam di hadapan bangunan baru Utusan Melayu kepada Jalan Utusan, bersempena dengan nama syarikat penerbitan tersebut.. apa lagi kata Najib sila baca di ( SINI )
Bagaimanapun hari ini akhbar yang dianggap sebagai lidah keramat bangsa Melayu oleh Najib itu memalukan bangsa Melayu..
Ini kerana akhbar lidah Rasmi UMNO itu telah terbukti sekali lagi sebagai penyebar fitnah dan Mahkamah telah memerintahkan Utusan supaya membayar RM40,000 kepada Datuk Husam Musa..
Ini laporannya...
Hari ini mungkin hari yang paling mengembirakan bagi Datuk Husam Musa kerana beliau berjaya menyelesaikan fitnah terhadapnya menjelang muktamar empat tahun lalu apabila Mingguan Malaysia bersetuju untuk menarik balik fitnah itu dan membayar kos RM40,000 kepadanya.
Persetujuan ini dicapai melalui penyelesaian damai yang dibacakan di depan Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Mingguan Malaysia, versi mingguan kepada akhbar Utusan Malaysia, bersetuju untuk menyiarkan penarikan balik itu dalam keluarannya 22 September ini dan bersetuju membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Husam.
Utusan juga berjanji tidak akan menyiarkan kembali perkataan fitnah itu dalam mana-mana penerbitannya.
Husam diwakili peguam Malik Imtiaz melalui Tetuan Thomas Philip manakala Mingguan diwakili Tetuan Shafie and Mohan. Penasihat Undang-undang Kanan Utusan, Shirad Anwar menandatangi persetujuan hari ini bagi pihak Utusan. Turut berada di mahkamah ialah Zulkiflee Bakar, penulis rencana berkenaan.
Menjelang muktamar PAS pada 2009, Mingguan Malaysia menyiarkan satu tulisan bertajuk 'Menilai Hujah Husam' ditulis Zulkeflee yang mengandungi penyataan fitnah terhadap Husam.
Antaranya, akhbar milik Umno itu menyiarkan tulisan:
"Ahli-ahli PAS tidak boleh membenarkan kehadiran mana-mana pemimpin yang dilihat suatu hari kelak boleh menjadi 'makhluk perosak' atau melakukan 'kerja-kerja bodoh' dalam parti itu."
"Mereka tidak boleh menyiarkan ada pemimpin daripada golongan profesional merelakan diri mereka diperalatkan oleh orang luar bagi meruntuhkan kepimpinan ulama dalam PAS."
"Kalaulah puak-puak Erdogan dipilih, ahli-ahli PAS harus bersedia melihat kedudukan ulama dalam parti itu berada dalam keadaan bahaya. Ini kerana agenda golongan profesional daripada puak Erdogan untuk menguasai PAS tidak akan berakhir di situ. Mereka akan melakukan perancangan yang lebih teliti untuk memastikan agenda pihak tertentu di luar PAS bagi menguasai parti berkenaan tercapai. Oleh itu mereka perlu menghapuskan sebarang golongan yang boleh bertindak sebagai musuh dalam selimut kepada PAS."
Husam ketika ditemui The Malaysian Insider hari ini berkata, beliau gembira dengan keputusan yang dicapai dalam mahkamah hari ini.
"Isu ini berlangsung selama empat tahun tanpa penyelesaian dan menjadi isu yang menyerang saya ketika itu," katanya ketika ditemui selepas keputusan dibacakan.
Pada tahun berkenaan, Husam bersama Mohamad Sabu bertanding untuk jawatan sebagai timbalan presiden PAS namun beliau dan Mohamad Sabu kalah kepada Nasharudin Mat Isa yang disokong Utusan.
Ekoran itu, beliau menyaman Utusan, ketua pengarangnya serta penulis, Zulkeflee kerana memfitnahnya.
"Hari ini ia selesai. Saya harap tuduhan sebegini tidak berbangkit lagi," katanya.