KEADILAN akan bertanding 102 kerusi Parlimen dan 162 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.
Perkara itu dimaklumkan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon-calon KEADILAN di sebuah hotel, dekat sini, hari ini.
Parti“KEADILAN akan bertanding 102 kerusi Parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya parti.
Jumlah kerusi itu meliputi 64 kerusi di Semenanjung, 21 di Sabah dan 17 di Sarawak. Berikut adalah senarai penuh nama-nama calon KEADILAN untuk PRU13 ini..
Ini buat semua Reformis yang tak terpilih..
Walau apapun slogannya, sama ada “Ubah”, “Tukar” atau “Reformasi”, perjuangan ini menuntut perubahan status quo, membebaskan negara dari korupsi, kronisme dan nepotisme.
Mustahil perjuangan ini berjaya tanpa kebangkitan kuasa rakyat, yang mengatasi segala ketakutan dan ugutan yang dipaksakan penguasa terhadap mereka.
Kita sedar hakikat bahawa perjuangan ini memerlukan orang yang berbeza (bakat dan kebolehannya) pada peringkat yang berbeza.
Reformis tulen yang memahami erti perjuangan tidak melenting mahupun kecil hati seandainya dirinya diketepikan untuk kepentingan awam yang lebih besar maknanya.
Maka mereka sanggup berhempas-pulas demi parti kerana menaruh kepercayaan dan harapan terhadap pimpinannya.
Namun demikian, reformis akan tetap berpegang kepada matlamat perjuangan sebermulanya.
Sesungguhnya ia dilahirkan dari retakan kuasa pemerintah, tetapi pergelutan kuasa ini telah mendedahkan masalah pokok yang berakar umbi dalam sistem politik kita, dari struktur ekonomi, sistem kehakiman, institusi polis, media dan sebagainya – sehingga ia meledakkan kuasa rakyat untuk bangkit menuntut perubahan.
Apa yang memilukan adalah kepercayaan aktivis dan sokongan pengundi diambil kesempatan untuk percaturan politik sendiri.
Alasan yang diberikan sentiasa mengajak kita untuk “melihat dalam kerangka yang lebih besar”, sedangkan apa yang berlaku adalah dirinya sedang mengintai kerusinya dalam parti dan kerajaan.
Sisa parti pemerintah dikitar-semula ke dalam perjuangan ini atas alasan “supaya semua terangkum” (inklusif namanya), tetapi aktivis yang berjuang lebih awal dari zaman Reformasi ditolak.
Mungkin sesetengah pimpinan PKR membawa baka “mudah lupa”. Jadi kita tegaskan di sini bahawa kita lawan UMNO kerana keangkuhannya untuk memonopoli kuasa, kerana sifat perkaumannya dan politikingnya demi kepentingan diri.
Sejak tahun 1998 kita lawan dengan slogan “Reformasi”, bukan “Semangat 46″; kita lawan dengan parti “KeADILan”, bukan “UMNO Baru” atas alasan apa?
Namun sesiapa yang menyokong perjuangan Reformasi tidak akan sanggup melihat perjuangan ini berakhir dengan sikap keangkuhan pemimpin terhadap reformis lain, atau cantas-mencantas semata-mata untuk menyingkirkan “orang lain”, dan menggantikan dengan “orang sendiri”.