
Pihak KEADILAN boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC. Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.
PETALING JAYA 4 Dis : Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.
Mohamad Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, merujuk tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail, 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.
Bagaimanapun wang berkenaan, kata Rafizi, digunakan Mohamad Salleh bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC.
“Tugasan Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai tersebut,” kata Rafizi.
Merujuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata Rafizi,undang-undang jelas menunjukkan Salleh melalui Shamsulbahrin telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM.
“Undang-undang SPRM jelas menunjukkan dalam kes ini, Datuk Seri Salleh Ismail melalui Datuk Shamsubahrin Ismail cuba merasuah pegawai SPRM dan PDRM dalam kes NFC bagi perkara berikut:
“Pertama, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta.
“Kedua, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memujuk pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan,” katanya dalam sidang media hari ini - Keadilandaily
************************************************
KEADILAN Desak SPRM Dakwa Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC Kerana Cubaan Merasuah.
Saya merujuk kepada tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail pada 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail sejumlah RM1.755 juta.
Pihak KEADILAN boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC. Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.
Tugasan Datuk Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM.
Merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Bahagian IV Perkara 16 dan 17, kesalahan rasuah berlaku apabila:
“Mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama dengan mana-mana orang lain:
(a) Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain; atau
(b) Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain;
apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi; atau selainnya oleh sebab:
(A) Mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku; atau
(B) Mana-mana pegawai sesuatu badan awam melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku, yang dengannya badan awam itu terlibat”
Undang-undang SPRM secara jelas menunjukkan dalam kes ini, Dato’ Seri Salleh Ismail MELALUI Datuk Shamsubahrin Ismail telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM dan PDRM di dalam kes NFC berdasarkan perkara-perkara berikut:
1) Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta
2) Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bersetuju dengan cadangan Datuk Shamsubahrin Ismail untuk memujuk pegawai-pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan
Saya merasa kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan rasuah untuk menutup penyelewengan yang lebih besar di dalam NFC. Sebaliknya, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM.
Tindakan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail mengambil jalan cuba merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM juga menggambarkan bahawa prinsip tatakelola dan urustadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar. Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cuba membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan yang ringan dan boleh dilakukan denghttp://www.blogger.com/img/blank.gifan sewenang-wenangnya.
Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak SPRM supaya dengan segera memulakan siasatan ke atas Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan pengurusan NFC atas cubaan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM bagi tujuan mempengaruhi siasatan ke atas skandal NFC.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
4 JANUARI 2012
Rafiziramli.Com