KUALA LUMPUR, 22 Nov ― Datuk Mahfuz Omar hari ini mempersoalkan terdapatnya perbezaan harga yang ketara dalam pembelian kamera perangkap laju Model Laser Digicam dan Model Laser Trucam yang dibeli Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun 1995.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, berdasarkan harga pasaran semasa kedua-dua model kamera perangkap laju tersebut, hanyalah antara AS$5,000 (RM15,000) untuk model Laser Trucam dan AS$6,000 untuk model Laser Digicam.
“Saya mahu menteri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) menjawab mengapa wujudnya perbezaan harga yang ketara semasa pembelian kamera tersebut pada 1995, sedangkan harga semasa kamera-kamera itu jauh lebih rendah.
“Sekiranya terdapat perbezaan jenama sekalipun, takkan sampai begitu tinggi harga yang dibayar kerajaan,” soalnya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dalam jawapan bertulis Hishammuddin di Parlimen sebelum ini, beliau menjelaskan pihak polis mempunyai 124 unit kamera perangkap laju yang bernilai RM23,500,125.
“... sejak 1995, PDRM telah dibekalkan dengan kamera perangkap had laju secara berperingkat. Sehingga kini, jumlah keseluruhan kamera tersebut adalah sebanyak 124 unit.
“Harga bagi setiap unit adalah seperti berikut; a. Model Laser Digicam berjumlah 85 unit dengan harga RM173,925.00 seunit; dan b. Model Laser Trucam berjumlah 39 unit dengan harga RM223,500.00 seunit,” katanya dalam jawapan bertulis tersebut menjawab soalan Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar berkenaan keseluruhan unit kamera perangkap laju yang dimiliki pihak berkuasa tersebut dan harga setiap satu daripadanya.
Mahfuz turut mengemukakan dokumen pembelian kedua-dua jenis kamera tersebut daripada negeri Idaho, Montana, dan Delaware di Amerika Syarikat yang bertarikh antara Oktober 2011 hingga Januari 2012 yang menunjukkan harga sebenar kamera tersebut lebih murah.
Kementerian Dalam Negeri dijangka akan menggulung perbahasan dan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan ahli Parlimen selepas sidang Dewan Rakyat disambung semula selepas makan tengahari.
Kerajaan baru-baru ini mencadangkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasa Automatik (AES), yang menimbulkan kontroversi untuk menangkap pemandu yang memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah.
Kamera AES, yang telah menerima tentangan daripada rakyat kini di peringkat percubaan dengan 14 daripadanya dipasang di Perak, Kuala Lumpur, Selangor, dan Putrajaya.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata kepada Parlimen polis akan meneruskan penggunaan kamera had laju mobil disamping penggunaan AES.
Sebanyak 831 unit kamera AES akan dipasang dua syarikat swasta dan operasinya akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh lima tahun. ~ The Malaysian Insider
Nak tengok harga sebenar kamera Had Laju tu sila lihat di ( SINI )