`Durian runtuh’ menanti kontraktor kelas F Terengganu apabila Kementerian Pelajaran dikatakan akan membahagikan projek untuk mereka awal bulan Jun ini.
Bagaimanapun, projek tersebut hanya untuk kontraktor yang menyokong Umno kerana pejabat Adun Umno yang mesti mengesahkan status lesen kontrak mereka.
Kontraktor kelas F yang khusus untuk Bumiputera boleh memasuki tender kerajaan bernilai sehingga RM250, 000.
Pembahagian projek dan kontrak kepada kontraktor bukan perkara baru terutama menjelang pilihan raya.
Beratus kontraktor kelas F mendapat projek semasa pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009.
Seorang kontraktor kelas F dari Kuala Terengganu memberitahu, syarat supaya semua lesen mesti mendapat pengesahan Adun BN menunjukkan kerajaan hanya mahu memberi projek kepada orang mereka sahaja.
PAS, PKR tidak laku
“Ini bermakna, kontraktor yang menyokong pembangkang tidak akan mendapat projek tersebut.
“Perkara ini berlaku dalam pilihanraya sebelum ini. Kontraktor Umno kenyang, manakala kontraktor PAS melihat sahaja.
“Tidak mungkin orang Umno akan mengesahkan lesen kontraktor penyokong PAS,” katanya.
Adun Umno Hulu Besut, Nawi Mohamad ketika dihubungi berkata, Adun Umno akan membuat pengesahan terhadap lesen-lesen kontrantor kelas F tersebut.
Katanya, kontrak penyokong parti pembangkang tidak boleh mendapatkan pengesahan dari Adun mereka sebaliknya mesti dari wakil rakyat Umno.
“Wakil rakyat PAS dan PKR tidak laku dalam soal ini,” katanya secara bergurau.
Bagaimanapun, kata Nawi, kontraktor berkenaan bukan secara automatik mendapat projek tetapi melalui undian.
Free Malaysia Today